Indonesia Tolak Bantuan Beras Diaspora Aceh

Foto Kompas

JAKARTA: Cadangan diaspora Aceh di Malaysia untuk menghantar bantuan beras kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh ditolak oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian.

Alasannya Indonesia kini telah mencapai tahap tinggi dalam pengeluaran beras.

Menurut laporan Kompas.com, Tito berkata, pada peringkat awal komuniti diaspora Aceh di Malaysia berhasrat menghantar beras sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dipersetujui kerana kerajaan berpandangan bekalan beras dalam negara mencukupi dan tidak memerlukan import tambahan.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menghadiri mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pemulihan Pascabencana di bangunan DPR di Jakarta, Rabu.

Menurutnya, bantuan dalam bentuk lain adalah lebih sesuai memandangkan keperluan semasa mangsa bencana lebih menjurus kepada barangan keperluan harian selain beras.

Tito turut memaklumkan bahawa diaspora Aceh di Malaysia telah mengumpulkan pelbagai jenis bantuan dengan nilai keseluruhan yang besar, termasuk minyak masak, gula pasir, air mineral, makanan siap saji, pakaian baru, al-Quran serta kemudahan tandas.

Namun, semua barangan berkenaan masih ‘ditahan’ di Pelabuhan Klang, sementara menunggu proses kelulusan dan pematuhan terhadap peraturan import Indonesia.