
JAKARTA: Ketua Pengarah Pengurusan Hutan Lestari Kementerian Perhutanan, Laksmi Wijayanti membenarkan orang ramai memanfaatkan kayu hanyut yang terkumpul di kawasan terjejas akibat banjir kilat di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Semalam, Wijayanti mengesahkan kayu itu boleh digunakan oleh orang ramai sebagai bahan binaan untuk rumah, kemudahan awam dan infrastruktur.
“Penggunaan kayu hanyut ini adalah khusus untuk pengurusan kecemasan bencana, kerja pemulihan dan proses pemulihan pascabencana. Ia adalah langkah kemanusiaan bagi membantu komuniti bangkit semula,” tegas beliau.
Menurutnya, dasar penggunaan kayu itu selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Direktorat Jeneral Pengurusan Hutan Lestari (PHL) pada 8 Disember 2025 berhubung penggunaan kayu hanyut bagi pemulihan pascabencana banjir.
“Kami mengeluarkan pekeliling yang ditujukan kepada tiga gabenor di kawasan terjejas,” katanya.
Wijayanti turut menegaskan penggunaan kayu hanyut itu mesti mematuhi peruntukan undang-undang yang terpakai.
Pejabatnya memastikan keseluruhan proses dijalankan mengikut Undang-Undang Nombor 18 Tahun 2013 mengenai pencegahan dan pembasmian kemusnahan hutan.
“Kayu hanyut boleh dikategorikan sebagai kayu yang ditemukan. Oleh itu, pengendaliannya mesti terus menegakkan prinsip-prinsip perundangan, kebolehkesanan, dan ketelusan. Kita tidak mahu niat baik ini disalahgunakan,” tegasnya.
Bagi mencegah pembalakan haram dan petunjuk pengubahan kayu yang dieksploitasi semasa bencana, beliau menyatakan kerajaan telah menghentikan sementara penggunaan dan pengangkutan kayu balak di tiga wilayah yang terjejas.