Henti Segala Bentuk Permusuhan: Anwar

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja digesa menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gesaan itu disampaikan menerusi perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Ini adalah susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

“Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia meminta penugasan Pasukan Pemerhati Asean (AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar untuk memantau situasi di lapangan.

“Misi ini akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan AS, bermula pada waktu yang sama,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.