
ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan penjualan tiket Piala Dunia 2026 akan menggunakan kaedah harga dinamik, dengan tempat duduk peringkat kumpulan bermula pada AS$60 (RM283).
FIFA berkata fasa pertama jualan tiket akan bermula pada 10 September sehingga 19 September menerusi cabutan prajualan khas Visa, terbuka kepada pemegang kad Visa terpilih.
Harga tiket akan berbeza mengikut permintaan pasaran, dengan tiket untuk perlawanan akhir mencecah sehingga AS$6,730 (RM28,370). Menurut Pengarah Tiket dan Hospitaliti FIFA, Falk Eller, sekitar sejuta tiket disediakan untuk fasa prajualan pertama ini.
“Kaedah ini sama seperti sistem harga dinamik bagi tiket penerbangan dan kadar bilik hotel pada musim cuti,” kata Eller, sambil mengakui pendekatan itu mungkin mengundang rungutan peminat, sebagaimana berlaku ketika jualan tiket konsert reunion kumpulan Oasis tahun ini.
FIFA menegaskan peminat yang berjaya menyertai cabutan prajualan akan diberikan slot masa untuk membeli tiket, tetapi tidak menjamin ketersediaan tiket.
Selain itu, FIFA akan melancarkan platform rasmi jual semula tiket pada akhir tahun ini. Namun, harga tiket yang dijual semula tidak akan dihadkan kerana FIFA mahu bersaing dengan pasaran gelap dan mewujudkan persekitaran lebih terkawal.