
KUALA LUMPUR: Harga minyak melonjak susulan laporan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara Israel atas alasan menyasarkan pemimpin Hamas.
Setakat pagi ini, minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada AS$66.39 setong manakala minyak mentah WTI menokok 0.54 peratus kepada AS$62.97 setong,
Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy, Jorge Leon, berkata tindakan Israel itu hanya menjadi satu lagi tindakan yang memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah.
“Risiko penularan krisis itu ke seluruh rantau semakin ketara. Sebahagian besarnya akan bergantung kepada tindak balas Qatar yang juga sekutu rapat Amerika Syarikat dan anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Tindakan Qatar seterusnya akan membentuk trajektori dinamik serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Beliau turut mengingatkan sebarang impak itu akan memburukkan lagi ketegangan di seluruh rantau Teluk, malah melangkaui wilayah itu yang membuktikan keadaan genting ketika ini.