
JAKARTA: Gunung Dukono di Pulau Halmahera, Indonesia meletus sekali lagi pada Jumaat, memuntahkan abu volkanik setinggi 4,000-meter ke udara.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi Dukono (PGA), Bambang Sugiono berkata letusan itu bermula kira-kira 5.28 petang waktu tempatan, susulan satu lagi kejadian pada sebelah pagi.
“Awan mengandungi abu berwarna kelabu dengan intensiti tebal dan bergerak ke arah barat laut mengikut arah serta kelajuan angin di sekitar gunung itu,” katanya seperti dipetik Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.
Bambang berkata letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud 34 milimeter dan tempoh 95.41 saat, menunjukkan aktiviti gunung berapi itu kekal signifikan dan boleh berlaku berulang kali.
Terdahulu pada hari sama, satu letusan sekitar 11.06 pagi menghasilkan awan mengandungi abu setinggi 1,500 meter di atas puncak, dengan abu turut diperhatikan bergerak ke arah barat laut.
Letusan awal itu mempunyai amplitud seismograf 25 milimeter dan berlangsung selama 82.26 saat.