
KUALA LUMPUR: Dron Israel berlegar-legar guna memantau pelayaran fasa kedua konvoi Global Sumud Flotilla yang memasuki hari kelima.
Tiga puluh lapan bot yang terbabit kini menghampiri Perairan Greece, sebelum bergerak ke Zon Kuning kira-kira 300 batu nautika dari Pantai Gaza.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan berkata setakat jam 8.45 pagi waktu tempatan (Laut Mediterranean), flotila itu sudah semakin hampir dengan laluan kritikal yang ditetapkan pihak penganjur.
“Selepas ini kita akan memasuki perairan antarabangsa berhampiran Greece. Dari situ, kita menuju ke Zon Kuning, jaraknya 300 batu nautika dari Gaza, manakala Zon Merah pula berada 100 batu nautika dari pantai berkenaan.
“Kedua-dua zon ini sering menjadi lokasi pemintasan,” katanya ketika dihubungi Bernama.