GEN Z BANGKIT GEGAR 10 NEGARA

Foto Sinar Harian

Arus kebangkitan Generasi Z bukan fenomena baru lagi. Ia adalah gelombang global apabila anak muda bangkit menentang rasuah, ketidakadilan sosial, kos sara hidup yang tinggi dan penyalahgunaan kuasa pemerintah.

Di pelbagai negara, protes yang diketuai golongan muda ini berjaya memaksa pemimpin politik berundur atau membawa kepada perubahan kerajaan.

Ada 10 negara yang menghadapi protes anak muda yang mahukan perubahan.

PERU (Oktober 2025)

Ribuan anak muda berhimpun menentang dasar pencen yang tidak adil dan isu rasuah dalam kerajaan. Demonstrasi ini memaksa kerajaan menghadapi tekanan politik yang serius dengan langkah-langkah pembaharuan mula diperkenalkan bagi menenangkan rakyat dan menstabilkan pentadbiran.

NEPAL (September 2025)

Protes besar-besaran terhadap rasuah dan kawalan media sosial mendorong Perdana Menteri K P Sharma Oli meletak jawatan. Kerajaan interim mengambil alih untuk memastikan kestabilan negara dan memberi ruang kepada reformasi politik.

MADAGASCAR (Oktober 2025)

Gelombang protes berhubung gangguan bekalan air dan elektrik menyebabkan Presiden Andry Rajoelina melarikan diri. Tentera mengambil alih sementara, menandakan perubahan kuasa yang drastik.

BANGLADESH (Ogos 2024)

Protes pelajar dan anak muda menentang sistem kuota kerja dan kekerasan polis membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Sheikh Hasina. Demonstrasi ini menunjukkan keberanian generasi muda dalam menuntut pentadbiran yang lebih adil.

MAGHRIBI (Oktober 2025)

Gerakan ‘Gen Z 212’ menuntut pembaharuan dalam sistem pendidikan dan kesihatan awam. Kerajaan menggunakan tindakan keras untuk mengekang protes, tetapi gelombang bantahan anak muda masih berterusan dan menekan pentadbiran untuk mengkaji semula polisi.

FILIPINA (Julai 2025)

Anak muda bangkit menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr. Demonstrasi ini menimbulkan tekanan berterusan terhadap kerajaan untuk melaksanakan reformasi dan meningkatkan ketelusan.

SERBIA (Mei 2025)

Generasi Z memimpin protes menuntut reformasi pilihanraya dan kebebasan media. Walaupun kerajaan masih bertahan, tekanan anak muda mencetuskan dialog politik dan penambahbaikan dalam sistem pilihan raya.

TOGO (Jun 2025 )

Protes generasi muda menentang rejim lama yang dianggap autokratik. Gelombang bantahan merebak ke seluruh negara, memaksa kerajaan untuk menimbang semula dasar dan kepimpinan mereka.

KENYA (Ogos 2025)

Gerakan anak muda menuntut ketelusan, keadilan sosial dan penguatkuasaan undang-undang terhadap rasuah. Protes besar-besaran ini masih berterusan, menekankan peranan generasi muda dalam mengekang penyalahgunaan kuasa.

INDONESIA (September 2025)

Golongan pelajar dan anak muda bangkit menentang kos sara hidup tinggi dan isu politik dalaman seperti elaun wakil rakyat. Tindakan mereka menekan kerajaan untuk menukar barisan menteri dan melaksanakan reformasi secara berperingkat.