Gajah Mengamuk Bunuh Enam Orang di India

Foto Hiasan

NEW DELHI: Seekor gajah turun minyak dan membunuh enam orang, termasuk empat ahli sekeluarga, di negeri Jharkhand, timur India.

Kejadian itu berlaku petang kelmarin di daerah West Singhbhum.

Seramai 17 orang maut di kawasan itu akibat serangan gajah dalam tempoh tujuh hari lalu, lapor media tempatan yang memetik pegawai perhutanan.

Enam mangsa yang terbunuh dalam kejadian berasingan semalam itu, termasuk empat sekeluarga di Kampung Bawadia apabila gajah itu memijak mangsa di dalam rumah beratap nipah mereka.

Pergerakan gajah juga dilaporkan sudah mengganggu beberapa perkhidmatan kereta api di kawasan itu dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Konflik manusia dan haiwan semakin meningkat di India berikutan perbandaran dan kerja-kerja infrastruktur yang menceroboh kawasan hutan serta zon yang kaya dengan hidupan liar.