
MUMBAI: Diusir dari United Kingdom, tiga penjenayah warga Malaysia paling dikehendaki bertindak ganas di Mumbai, India.
Mereka yang sebelum ini menjadi buruan polis melalui operasi khas Op Jack Sparrow, terbabit dalam pergaduhan ganas dengan pasukan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai.
New Delhi Television (NDTV) melaporkan, tiga lelaki terbabit, Navindren Raj Cumarason, Sridharan Subramanian dan Pratifkumar Selvaraj kini ditahan di bawah ‘pengawasan keselamatan tahap tinggi’ di sebuah bilik khas di lapangan terbang.
Ketibaan mereka mencetuskan kegusaran diplomatik antarabangsa dengan pasukan khas polis elit Malaysia dijangka tiba di Mumbai dalam tempoh 48 jam bagi tujuan penahanan.
Ketiga-tiga penjenayah, yang diburu kerana rangkaian kes pembunuhan dan perbuatan khianat menggunakan api, berjaya menyusup keluar dari sempadan Malaysia dan transit melalui Mumbai untuk ke Manchester, England.
Bagaimanapun, larian mereka berakhir di Lapangan Terbang Manchester, di mana pegawai imigresen Britain yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga individu terbabit sebagai ‘penjenayah berprofil tinggi’, menolak kemasukan mereka.
Memandangkan mereka tiba melalui penerbangan dari Mumbai, protokol antarabangsa menetapkan penjenayah terbabit dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir.
Apabila penerbangan dari Manchester mendarat di Mumbai, ketiga-tiga lelaki itu menyedari mereka terperangkap.
Apa yang berlaku seterusnya digambarkan oleh saksi sebagai ‘suasana kacau bilau tidak terkawal’.
Mereka nekad bertindak ganas dan terbabit dalam pergaduhan fizikal dengan anggota Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF).
Menurut sumber, mereka membuat kekacauan dan cuba melawan pegawai di kawasan transit sebelum akhirnya ditahan pasukan keselamatan.