Bencana Sumatera lebih parah daripada tsunami

Foto Fail AFP/BNPB

KUALA LUMPUR: Wartawan KompasTV, Raja Umar menyifatkan bencana yang melanda Sumatera ketika ini lebih parah berbanding bencana tsunami yang pernah melanda pada 2004.

Hampir 1,000 terkorban, 234 hilang, sejuta penduduk dipindahkan, dan lebih 156,000 rumah musnah di Sumatera dan Aceh.

Raja Umar berkata, kesimpulan itu dibuat memandangkan bantuan masih belum dapat disampaikan kepada semua mangsa yang terjejas meskipun selepas 14 hari bencana berlaku.

“Musibah banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh kali ini adalah yang paling parah. Kesan bencananya sama seperti tsunami. Bahkan, ketika bencana tsunami melanda, penghantaran bantuan adalah lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, jaringan elektrik dan komunikasi masih belum pulih menyebabkan ramai penduduk terputus hubungan dengan keluarga yang berada di kawasan berbeza.

“Perkara yang paling mengesankan adalah ramai yang kehilangan kediaman, bahkan seluruh kampung hilang (musnah). Ini adalah pengajaran bagi kita yang tidak menjadi mangsa banjir. Ramai mangsa yang hilang segala-galanya akibat banjir,” ujarnya.

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sr. Dr. Shuib Rambat menegaskan kesedaran masyarakat untuk bersiap siaga adalah amat penting, dengan mengambil pengajaran daripada pengalaman bencana di Indonesia ketika ini.

“METMalaysia juga ada mengeluarkan panduan, yang menunjukkan jika para air sungai naik 25mm dalam masa sejam, maka banjir yang akan melanda dijangka pada kedalaman satu meter. Kita sebagai penduduk boleh gunakan garis panduan ini,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) melaporkan 961 kematian, 234 orang hilang dan kira-kira 5,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat setakat Khamis. Agensi itu turut merekodkan kerosakan ke atas lebih 156,000 rumah. Sebanyak 52 daerah dan bandar masih terjejas teruk.