Barat Iktiraf Palestin, Israel Tertekan

Foto Reuters

LONDON: Israel menghadapi tekanan global apabila negara-negara Barat termasuk Britain, Australia, Kanada dan Portugal semalam mengiktiraf Negara Palestin,.

Ini adalah langkah bersejarah dalam dasar luar Barat sejak beberapa dekad lalu, lantas mencetuskan kemarahan Israel.

Ini diraikan oleh rakyat Palestin di Gaza yang menyambutnya sebagai kemenangan. Cuma Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan negara Palestin tidak akan wujud, malah berikrar memperluas penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967.

Beberapa negara lain termasuk Perancis dijangka mengikut jejak itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Pengumuman Britain dibuat selepas Perdana Menterinya, Keir Starmer berkata negara itu mengiktiraf Palestin ‘bagi mengembalikan harapan keamanan kepada rakyat Palestin dan Israel serta penyelesaian dua negara’.

Israel kini berdepan tekanan antarabangsa besar berhubung perang di Gaza yang meragut puluhan ribu nyawa serta mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di wilayah berkenaan.