Banjir Kilat Landa Makkah, Masjidil Haram Tak Terjejas

Foto Agensi

MAKKAH: Beberapa bahagian wilayah Makkah dilanda banjir kilat pada 12 November akibat hujan lebat, menyebabkan jalan digenangi air dan gangguan trafik, khususnya di kawasan selatan.

Pusat bandar Makkah termasuk kawasan sekitar Masjidil Haram hanya mengalami angin kencang dan mendung tanpa hujan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi mengeluarkan amaran merah bagi beberapa kawasan, memberi amaran mengenai hujan lebat, ribut petir, hujan batu dan potensi banjir kilat.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan yang sudah bertukar menjadi aliran air deras, terutama di daerah seperti Difa’q yang dilanda ribut kuat untuk hari kedua berturut-turut.

“Hujan tanpa henti dan mengalir deras di jalan-jalan utama,” kata seorang penduduk dalam video tular, menggambarkan situasi cemas ketika kereta dan trak cuba mengharungi limpahan air.

Rakaman lain menunjukkan pemandu terpaksa memberanikan diri meredah banjir yang disifatkan ‘seperti banjir besar zaman dahulu’.