Bangunkan Gaza perlu RM295 bilion/Banyak negara ikrar sumbangan

Foto AFP

GENEVA: Sisa runtuhan akibat perang yang berlarutan selama dua tahun di Gaza adalah bersamaan 13 kali ganda saiz Piramid Giza, kata pegawai Program Pembanguan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Jaco Cilliers.

Beliau berkata, perang Israel terhadap Hamas menyebabkan sekurang-kurangnya 55 juta tan sisa runtuhan dan Gaza mungkin mengambil masa berdekad-dekad untuk pulih sepenuhnya.

Menurutnya, negara-negara Eropah dan Arab, Kanada serta Amerika Syarikat bersedia menyumbang kepada anggaran AS$70 bilion (kira-kira RM295 bilion) yang diperlukan untuk membina semula Gaza.

“Kami mendengar berita yang sangat positif daripada beberapa rakan kongsi kami termasuk rakan kongsi Eropah, Kanada mengenai kesediaan mereka untuk membantu,” katanya di sidang akhbar.

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza, ramai rakyat Palestin kembali ke runtuhan kediaman mereka di wilayah pesisir pantai itu.

Sebahagian besar Gaza musnah akibat pengeboman Israel selama dua tahun yang membunuh kira-kira 68,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Kemusnahan berlaku di Bandar Gaza, lokasi beberapa pertempuran paling sengit. Kira-kira 83 peratus daripada semua struktur bangunan di sana rosak, menurut Pusat Satelit PBB.

UNDP berkata, pihaknya sudah membersihkan kira-kira 81,000 tan sisa runtuhan dari Gaza dan usaha itu masih diteruskan.