Asia Barat terus bergelora, mangsa awam meningkat

Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pertempuran ketenteraan di antara Iran dengan Amerika Syarikat-Israel semakin menjadi-jadi. Serangan peluru berpandu dan dron melanda beberapa negara Teluk, mengakibatkan kematian orang awam di Iran serta mengganggu operasi penerbangan dan tenaga serantau.

Sejak Amerika-Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari lalu, gelombang serangan balas peluru berpandu dan dron Iran bertalu-talu menyasarkan kepentingan Amerika di seluruh rantau berkenaan.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan hampir 10,000 struktur awam di negara itu rosak sejak konflik memuncak.

Organisasi itu memaklumkan sebanyak 9,669 unit awam terjejas, termasuk 7,943 hartanah kediaman dan 1,617 bangunan komersil.

Selain itu, katanya, 32 pusat perubatan dan rawatan serta 65 sekolah dan institusi pendidikan turut mengalami kerosakan dalam serangan berkenaan.

Serangan juga menjejaskan 13 kemudahan Bulan Sabit Merah, 15 kenderaan operasi dan 13 ambulans milik organisasi itu serta pasukan tindak balas kecemasan.

Bulan Sabit Merah menyatakan 11 kakitangan perubatan terbunuh, manakala 33 yang lain cedera.

Sementara itu, koresponden Anadolu melaporkan letupan baru kedengaran di ibu negara Iran, Teheran, pada pagi di tengah-tengah serangan berterusan Amerika-Israel.

Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda tambahan.

Sejak 28 Februari lalu, lebih 1,200 orang dilaporkan terbunuh dalam konflik kali ini termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang dilaporkan terkorban dalam serangan awal AS-Israel ke atas Tehran, bersama beberapa pegawai kanan tentera republik Islam itu.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata Tehran akan membalas serangan yang dilancarkan dari mana-mana negara, sambil menegaskan Iran tidak menganggap negara jirannya sebagai musuh.

“Kami berdiri teguh menentang dan membalas dengan kuat terhadap mereka yang menyerang negara kami,” kata Pezeshkian.

Beliau menekankan bahawa Iran menganggap negara jirannya sebagai ‘saudara’, sekaligus menggesa negara serantau menyelesaikan perbezaan secara dalaman tanpa membenarkan kuasa luar mencetuskan konflik lebih luas.

Di sebalik jaminan itu, beberapa negara Teluk melaporkan serangan peluru berpandu dan dron yang dikaitkan dengan Iran.

Di Bahrain, Pasukan Pertahanan Bahrain menyatakan sistem pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan 92 peluru berpandu dan 151 dron sejak bermulanya serangan Iran, lapor Agensi Berita Bahrain.

Pihak berkuasa berkata, serpihan peluru berpandu Iran jatuh di bangunan universiti di kawasan utara Muharraq dan mencederakan tiga orang.

Secara berasingan, pegawai berkata, sebuah kemudahan berhampiran Pelabuhan Salman di ibu kota, Manama, telah disasarkan, mencetuskan kebakaran sementara pasukan pertahanan awam berusaha mengawal kebakaran.

Pihak berkuasa Bahrain menggesa penduduk untuk kekal di dalam rumah melainkan perlu, dan menasihati mereka agar tidak merakam operasi ketenteraan atau tapak yang rosak.

Di Kuwait, Kementerian Pertahanan menyatakan sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron musuh yang menyasarkan negara itu.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan dua pegawai dari Jabatan Keselamatan Sempadan Darat terbunuh ketika bertindak balas terhadap serangan, semalam, termasuk serangan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, menurut Anadolu.

Sementara itu, Iran menyatakan ia telah menyasarkan 14 pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan sepanjang tujuh hari lalu.

Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Brigadier Jeneral Abolfazl Shekarchi, berkata beberapa pangkalan Amerika telah musnah sepenuhnya dan mungkin mengambil masa sekurang-kurang lima tahun untuk dibina semula.

Beliau juga memberi amaran bahawa kapal milik Amerika dan Israel boleh menjadi sasaran jika mereka cuba melalui Selat Hormuz.