
ANKARA: Tidak ada negara, walau sekuat mana sekalipun, mempunyai hak untuk memijak atau mencabul kedaulatan negara lain.
Berucap dalam satu syarahan umum di Ankara, Turkiye, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesebuah negara juga tidak boleh diberikan lesen tanpa had untuk bertindak dengan sewenang-wenangnya merentasi sempadannya tanpa dikenakan pertanggungjawaban.
Bagi negara seperti Malaysia dan Türkiye, serta semua negara yang mencintai keamanan di seluruh dunia, undang-undang antarabangsa bukanlah suatu pilihan tambahan yang boleh dipatuhi hanya apabila ia sesuai.
Anwar berkata ini merupakan syarat asas untuk kelangsungan hidup dan hakisannya membawa risiko yang nyata, bersifat kewujudan dan mempunyai implikasi yang besar.
Bagi Asia Tenggara khususnya, doktrin asas sebagai zon aman, bebas dan berkecuali menjadi semakin relevan dan mendesak, ketika negara-negara anggota ASEAN memainkan peranan masing-masing untuk meredakan situasi tidak menentu antara Thailand dan Kemboja, dengan kerjasama kuasa-kuasa besar.
Namun begitu, menurut Datuk Seri Anwar, sejak kebelakangan ini, persaingan keselamatan semakin memuncak. Satu pihak membina keupayaan dengan alasan niat pihak yang lain, manakala pihak tersebut bertindak balas secara timbal balik.
Tambah beliau, walaupun konflik terbuka mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, risiko salah perhitungan membawa kos yang lebih tinggi dan usaha pembetulan menjadi semakin sukar.