
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto komited untuk mempercepatkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai dan menguntungkan.
Di sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Anwar berkata kedua-dua negara harus menimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakayat.
“Kalau nampak masih buntu sedikit perundingan dari segi hukum, peratusan dan undang-undang, maka tidak ada halangan untuk kita segerakan kerjasama ekonomi.
“Kalaupun di kawasan Ambalat, kerana kalau kita tunggu selesai kadang mungkin mengambil masa dua dekad lagi. Jadi kita manfaatkan waktu ini untuk mendapat hasil supaya memberi keuntungan kepada kedua-dua negara dan membela rakyat di kawasan yang agak jauh,” katanya.