Alat Tunggangan 360 Darjah Patah Dua

Foto X

Sekurang-kurangnya 23 orang cedera apabila permainan di sebuah taman hiburan di Arab Saudi patah dua menyebabkan alat pemusar besar terhempas ke tanah, lapor media tempatan.

Rakaman yang tular dalam talian menunjukkan alat tunggangan ‘360 Darjah’ patah, dengan pemusar bulat terhempas dari ketinggian beberapa meter.

Saluran televisyen Al Arabiya milik kerajaan Arab Saudi mengesahkan seramai 23 cedera, empat daripadanya parah, dalam kemalangan itu.

Susulan kejadian itu, taman hiburan yang terletak di Taif, barat daya Arab Saudi, telah ditutup dan siasatan sedang dijalankan, tambah Al Arabiya.