16 korban tanah runtuh Bandung

Foto AFP

JAKARTA: Enam belas orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat ini.

Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, berkata empat lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dibawa ke pos koordinasi Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) seramai 16 orang.

“Sembilan sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing semalam,” katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Antara semalam.

Kejadian tanah runtuh berpunca hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu, sehingga menimbus beberapa kawasan perumahan.

Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, melawat lokasi kejadian pagi semalam dengan diiringi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto dan Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii.

Suharyanto dalam satu kenyataan berkata berdasarkan data awal, seramai 232 penduduk yang dipindahkan kini berada di pusat perlindungan sementara.