
SUDAN: Sekurang-kurangnya 1,000 terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan sebuah kampung di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan, dengan hanya seorang terselamat.
Pergerakan/Pasukan Pembebasan Sudan (SLM/A), diketuai Abdelwahid Mohamed Nour dalam kenyataan, berkata tanah runtuh itu berlaku pada 31 Ogos selepas hujan lebat selama beberapa hari.
Pergerakan itu, yang menguasai kawasan berkenaan di rantau Darfur, merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Kenyataan itu memaklumkan, kampung berkenaan “kini rata sepenuhnya.”
Penduduk melarikan diri daripada perang yang sedang memuncak antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di negeri Darfur Utara dan berlindung di kawasan Pergunungan Marra, yang mana bekalan makanan dan ubat sangat terhad.
Perang saudara yang berlanjutan selama dua tahun itu menyebabkan lebih separuh populasi Sudan menghadapi krisis kelaparan dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Ibu negeri Darfur Utara, Al-Fashir, kini sedang dibedil dalam pertempuran yang semakin sengit.